Tuesday 5 May 2015

Samseng Johor Diburu Habis-habisan


JOHOR BAHRU - Polis Johor akan meningkatkan usaha 'memutihkan' kawasan-kawasan yang sering dicemari jenayah dalam usaha membendung kegiatan itu di negeri ini, kata Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 15 kawasan 'hitam' itu dikenal pasti di daerah ini setelah dipantau sejak beberapa tahun lepas.

"Konsep memutihkan kawasan hitam jenayah pernah dibuat di Kuala Lumpur, dengan mengenal pasti kawasan yang banyak kegiatan jenayah seperti dadah dan gangster," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Baharu
di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua Ketua Polis Daerah di negeri ini supaya mengesan kawasan 'hitam' itu dengan melakukan pemantauan meluas.

Pada masa sama, katanya mereka perlu saling berbincang cara untuk mengatasi jenayah berkenaan.

Rusli berkata, selepas mengenal pasti kawasan hitam itu, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi 'membersihkan' jenayah di kawasan terbabit termasuk membina balai polis di kawasan berkenaan.

"Balai polis ini memudahkan penduduk membuat aduan, dam pada masa yang sama, polis boleh membuat pengawasan," kata beliau.

Rusli, 58, mengambil alih jawatan Ketua Polis Johor daripada Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff pada 26 April lepas.

Sebelum ini, beliau merupakan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman. - Bernama

No comments:

Post a Comment