Wednesday 6 May 2015

Ketua Kumpulan Geng Buyung Ditahan



Kota Bharu: Polis Kelantan menahan ketua kumpulan 'Geng Buyung' yang dikehendaki sejak empat tahun lalu dalam serbuan di Jalan Bayam, di sini, kira-kira 2.30 petang, Rabu minggu lalu.

Suspek yang dikenali sebagai Buyung atau Nor Tarmimi Md Salleh, 32, sebelum ini mendalangi beberapa kes jenayah termasuk kejadian tembak, pengedaran dadah, khianat menggunakan api sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek adalah ketua kumpulan 'Geng Buyung' yang bergiat aktif melakukan jenayah di negeri ini beberapa tahun lalu.

Katanya, polis memburu Buyung sejak 2011, namun penjenayah berkenaan melarikan diri dengan bersembunyi di negara Thailand.

"Untuk mengelak dikesan polis, Buyung menukar imejnya sebelum kembali semula ke Kelantan selepas bersembunyi hampir empat tahun di negara jiran," katanya dalam sidang media, di sini, semalam selepas Sambutan Ulang Tahun Ke-45 Kor Kadet Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.

Pada April 2012, akhbar melaporkan, dua penjenayah dikehendaki yang juga ahli kumpulan Geng Buyung mati ditembak polis menerusi serbuan di sebuah bajet hotel di Jalan Sri Cemerlang.

- HM

No comments:

Post a Comment