KUALA LUMPUR - Belum ada sebarang pengesahan berkaitan letupan di udara melibatkan helikopter malang yang terhempas di Semenyih petang semalam, sebagaimana dilaporkan beberapa media, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Tiong Lai berkata, siasatan awal masih berjalan dan selagi siasatan belum selesai, khabar angin mengenai letupan itu dianggap tidak benar.
"Tidak ada sebarang maklumat lain (tentang letupan), siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar kediaman ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis di The Mines, Seri Kembangan hari ini.
Jamaluddin bersama-sama lima yang lain terkorban dalam kemalangan itu.
Jamaluddin, yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias serta empat yang lain sedang dalam penerbangan dari Pekan, Pahang, ke Subang, Selangor, apabila helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) itu terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih. - Bernama
No comments:
Post a Comment