Kuala Lumpur : Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan 17 ahli kumpulan militan Negara Islam (IS) yang berusia antara 14 hingga 49 tahun ditahan pada 5 April lalu ketika mengadakan pertemuan sulit bagi merancang untuk melancarkan serangan di sekitar Lembah Klang termasuk rancangan untuk menculik orang kenamaan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Khalid berkata, tangkapan itu dilakukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas hasil operasi khas di sekitar Kuala Lumpur dan Kedah bagi mengesan sel anggota kumpulan pengganas yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas IS.
Menurutnya, anggota kanan sel pengganas yang berusia 49 tahun berasal dari Kedah adalah bekas anggota kanan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang ditangkap pada Jun 2001 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri
(AKDN) 1960 selain pernah menjalani latihan di Afghanistan pada Jun 1989 dan Sulawesi pada November 2000.
“Suspek juga terbabit dalam rancangan untuk merompak senjata api di Balai Polis Guar Cempedak pada Februari 2001 sebelum berlepas ke Syria pada Ogos 2014 untuk menjalani latihan ketenteraan dan kembali ke Malaysia pada Disember 2014.
“Seorang lagi adalah guru agama berusia 38 tahun berasal dari Kedah yang berlepas ke Syria pada September 2014 untuk menyertai kumpulan pengganas IS dan kembali ke Malaysia pada Disember 2014,” katanya.
Beliau berkata, matlamat kumpulan pengganas baru ini adalah untuk menubuhkan Negara Islam Ala-Islamic State di Malaysia dan turut ditahan adalah dua anggota tentera, seorang pengawal keselamatan yang mempunyai akses kepada senjata api selain seorang anggota militan dari Indonesia merangkap bekas anggota kumpulan Jemaah Islamiah yang mempunyai kemahiran mengendalikan senjata api.
- HM
No comments:
Post a Comment