Saturday, 11 April 2015

Jenayah Jalanan Lupus Dalam 3 Hari



Putrajaya : Badan Kehakiman bersetuju mengeluarkan arahan amalan untuk melupuskan kes jenayah jalanan secara ‘fast track’ atau pantas selepas perbincangan dibuat bersama Jabatan Peguam Negara.

Jenayah jalanan adalah merujuk kepada kesalahan ragut, rompak tanpa senjata dan rompak berkumpulan tanpa senjata.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata, bagi kes yang membabitkan tertuduh mengaku salah, pelupusan kes dilakukan dalam tempoh tidak melebihi tiga hari dari tarikh pendaftaran kes, manakala tempoh masa dua minggu diberikan untuk kes yang dibicarakan.

“Meskipun pelupusan kes ini diuruskan dengan pantas, namun ia tetap tidak menafikan hak tertuduh untuk diwakili peguam pilihannya sendiri sebagaimana yang dijamin di bawah Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam yang dilantik hendaklah bersedia meneruskan kes sebagaimana dijadualkan. Jika peguam tidak dapat hadir atau tidak mampu mengendalikan kes pada masa ditetapkan, tertuduh boleh mendapatkan khidmat peguam tersenarai dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK),”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Istana Kehakiman, semalam.

Seramai lima Pesuruhjaya Kehakiman mengangkat sumpah jawatan dan taat setia iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Bache, Pegawai Khas I kepada Ketua Hakim Negara, Dr Alwi Abdul Wahab, Peguam bela dan Peguamcara, Datuk Mohd Firuz Jaffril, Penasihat Undang-Undang Bahagian Korporat dan Undang-Undang Maybank Berhad, Mohd Nazlan Mohd Ghazali serta Gabriel Gubis Humen.

Pelantikan lima Pesuruhjaya Kehakiman itu berkuatkuasa semalam.

Dalam pada itu, Arifin berkata, antara objektif memastikan pengendalian kes jenayah jalanan dilakukan secara ‘fast track’ bagi memudahkan proses keterangan membabitkan pelancong asing sebagai mangsa.

“Ini kerana mereka berada di Malaysia untuk satu tempoh yang sangat terhad. Jika proses pendakwaan mengambil masa lama, pasti menyukarkan mereka,” katanya.

Beliau berkata, Badan Kehakiman komited untuk memerangi jenayah jalanan dan menerusi Arahan Amalan Bilangan 1 Tahun 2009.

Katanya, mengikut pengkelasan kod kes jenayah jalanan bagi mahkamah majistret dan sesyen, definisi jenayah jalanan turut merujuk kepada kesalahan umum.

“Sebagaimana dilaporkan menerusi statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2014, sebanyak 19,299 kes jenayah jalanan dilaporkan.

“Bagi tahun sama sebanyak 2,889 kes jenayah jalanan membabitkan tertuduh atau mangsa rakyat Malaysia atau pelancong asing didaftarkan di bawah kos 82(J), 82(RS), 62(J), 62(RS) masing-masing di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret seluruh Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Arifin berkata, statistik menunjukkan 80 peratus tertuduh dalam kes jenayah jalanan mengaku salah.

- HM

No comments:

Post a Comment