SEGAMAT – Tiga kedai makan yang beroperasi di Lebuhraya Segamat-Kuantan, di sini, diserbu polis dalam Ops Bersepadu pada 30 Mac lalu berdasarkan rungutan dan aduan orang awam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Kamil Sukarmi berkata, Ops Bersepadu tersebut yang dilakukan pada jam 10 malam itu disertai oleh pegawai dan anggota IPD Segamat, kakitangan Pejabat Agama Islam Segamat serta Majlis Daerah Segamat (MDS).
“Ketiga-tiga kedai makan tersebut dikenali sebagai ‘karaoke rimba’ dalam kalangan penduduk tempatan kerana menyediakan aktiviti karaoke kepada pelanggan selain waktu operasinya sehingga awal pagi.
“Kami juga turut menerima aduan daripada orang awam bahawa kedai-kedai tersebut turut menjual air ketum, arak selain menyediakan pelayan wanita yang dilihat bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, kelihatan beberapa pasangan sedang menari diikuti dengan alunan muzik manakala beberapa meja lain terdapat pelanggan sedang minum dan makan seperti biasa.
“Seramai 18 lelaki dan 10 wanita telah diperiksa dalam ops tersebut. enam daripada pelanggan lelaki dibawa ke IPD Segamat untuk ujian saringan air kencing dan dua daripadanya positif dadah.
“Ini merupakan serbuan dan pemeriksaan kali kedua yang dijalankan oleh pihak polis berikutan aduan orang ramai. Pemeriksaan pertama dijalankan pada bulan puasa yang lalu kerana sebahagian penduduk yang tidak senang dengan sikap pengusaha kedai makan tersebut,” katanya.
Menurutnya, polis juga akan sentiasa memantau kegiatan perniagaan di kedai-kedai makan yang menjalankan kegiatan yang boleh menimbulkan rasa kurang senang masyarakat setempat.
-SH
No comments:
Post a Comment