Kuala Lumpur: Seorang ‘keldai dadah’ wanita warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA), Nepal kelmarin, selepas didapati cuba menyeludup kokain seberat 11 kilogram (kg).
Wanita berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 malam ketika dia dalam perjalanan ke Itali melalui Kathmandu, Nepal, dengan menyembunyikan dadah itu di dalam lima komputer riba.
Menurut sumber, suspek ditahan ketika pemeriksaan keselamatan dilakukan pihak berkuasa lapangan terbang.
“Suspek dipercayai kali pertama menggunakan laluan Nepal selepas mengambil bekalan dadah itu di Brazil untuk diseludup ke Itali.
“Wanita terbabit pergi ke Brazil dari Malaysia pada 15 Mac lalu sebelum mengambil penerbangan dari Doha, Qatar ke Kathmandu pada 28 Mac,” katanya.
Ketika disoal siasat, suspek memberitahu ‘dalang’ pengedar dadah yang menyerahkan barangan itu mengarahkan dia menggunakan pintu masuk berkenaan atas faktor keselamatan.
Sumber berkata, siasatan awal mendedahkan suspek menerima upah AS$D1,000 (RM3,625) bagi tugas menyeludup dadah itu dari Brazil ke Nepal.
“Suspek akan menerima baki bayaran AS$5,000 (RM18,124) sebaik tiba ke destinasi di Itali,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Duta Besar Malaysia ke Nepal Fadli Adilah mengesahkan penahanan wanita terbabit.
Menurutnya, pihak kedutaan sedang memberikan bantuan berkaitan iaitu lawatan terhadap suspek dan memastikan wanita itu melalui prosedur dan proses undang-undang negara Nepal.
“Dia juga akan dihadapkan ke mahkamah petang ini (semalam), bagi lanjutan tahanan reman dan siasatan,” katanya.
- HM
No comments:
Post a Comment