Friday, 17 April 2015

'Ops Photostat' Kereta Klon, Roadtax Asli, Nombor Sah



Seremban: Tujuh orang awam ditahan manakala 15 kenderaan pelbagai jenama bernilai lebih RM1.5 juta disita dalam Ops Photostat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan di sini dan Johor Bahru.

Kenderaan termasuk jenis mewah itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan dikategorikan sebagai kenderaan lusuh serta dilarang pengimportannya tanpa kebenaran khas ke negara ini kecuali dalam bentuk alat ganti terpakai atau untuk sukan permotoran.

Dalam operasi pada Isnin lalu di bandar ini, SPRM menahan dua lelaki dan merampas dua kenderaan yang menggunakan pelekat cukai jalan asli dengan nombor pendaftaran sah atau dikenali sebagai kereta klon.

Sementara itu, dalam dua serbuan di Johor Bahru keesokan harinya, lima orang ditahan termasuk seorang wanita serta seorang lelaki warga asing dan 12 kenderaan dirampas.

Serbuan hasil intipan serta risikan hampir sebulan pegawai SPRM dan maklumat orang awam.

Semua suspek berusia 22 hingga 46 tahun itu kini direman mulai selasa lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

- HM

No comments:

Post a Comment