Saturday, 25 April 2015

Serahkan Segera Kereta Klon



Penampang: Semua pemilik kenderaan mewah yang memiliki ‘kereta klon’ diminta segera menyerah diri bagi mengelak dikenakan tindakan tegas apabila operasi mengesan kenderaan seludup dilancarkan di seluruh negara tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, kebanyakan kenderaan klon ini diseludup dari negara jiran sebelum digunakan di jalan raya secara tidak sah.

“Pemilik kenderaan klon perlu menyerahkan kenderaan mereka untuk pemeriksaan bagi mengelak dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Sehingga semalam (kelmarin), lima pemilik kenderaan mewah dipercayai memiliki kereta klon sudah menyerahkan kenderaan mereka kepada JPJ untuk siasatan lanjut,” katanya yang ditemui ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari JPJ Peringkat Negeri di Ibu Pejabat JPJ Sabah, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Arifin Che Mat dan Pengarah JPJ negeri, Mohd Shuhaili Mohd Taufek.

Ismail berkata, tindakan lebih berat akan dikenakan sekiranya JPJ berjaya mengesan kenderaan seludup ini termasuk mengenakan penalti lebih tinggi.

“JPJ tidak mengetahui angka sebenar kenderaan klon di negara ini kerana kebanyakannya diseludup.

“Penjualan kereta klon dipercayai didalangi sindiket tertentu yang menjualnya dengan harga jauh lebih murah berbanding pasaran,” katanya.

Menurut Ismail, pemiliknya pasti menghadapi masalah untuk memperbaharui cukai jalan berikutan rekod kenderaan terbabit tiada dalam sistem JPJ.

Beliau dakwaan berlaku salah laku dalam kalangan anggotanya berhubung penjualan kenderaan seludup di negara ini.

“Saya tidak menerima sebarang maklumat atau laporan berkaitan pembabitan anggota JPJ dalam kegiatan ini tetapi percaya ia didalangi sindiket tertentu.

“Kebanyakan kenderaan seludup ini dibawa masuk secara haram dari Singapura,” katanya.

- HM

No comments:

Post a Comment