Friday, 24 April 2015

US Pelu Batal Perlindungan Politik Alvin Tan


KUALA LUMPUR - Tiga badan bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Kesatuan Melayu Bersatu hari ini mendesak kerajaan Amerika Syarikat (AS) membatalkan perlindungan politik ke atas blogger kontroversi Alvin Tan dan menyerahkannya kembali kepada Malaysia.

Tiga NGO terbabit ialah Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM).

Dalam memorandum yang diserahkan oleh Presiden PMSP Ramesh Rao di Kedutaan AS di sini hari ini, mereka turut menggesa Kementerian Luar dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap rakyat Malaysia yang melarikan diri ke luar negara selepas melakukan kesalahan.

Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah pula berkata tindakan Alvin baru-baru ini yang memuat naik video bertajuk 'Muslim Call to Prayer-Azan (R&B Cover)' di laman Facebooknya adalah satu penghinaan melampau terhadap agama Islam .

"Apatah lagi bila ada segelintir golongan muda mula memuat naik video azan itu dengan menjadikannya nada dering telefon bimbit mereka," katanya kepada pemberita.

Alvin dilapor melarikan diri ke AS untuk mendapatkan perlindungan politik bagi mengelak ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas beberapa kesalahan termasuk mengikut Akta Hasutan kerana mempersendakan agama Islam serta mempersendakan institusi Raja melalui laman Facebooknya. - Bernama

No comments:

Post a Comment