Friday, 10 April 2015

Warga emas rugi RM18,000 ditipu menang hadiah



KUALA LUMPUR - Sepasang warga emas berputih mata apabila rugi lebih RM18,000 ekoran terpedaya dengan satu sindiket penipuan di sebuah pasar raya di Ampang, Selasa lepas.

Rani Rahim, 76, berkata, dia dan isterinya Halijah Othman, 74, bertemu dengan seorang lelaki dikenali sebagai Kenny, yang mendakwa sebagai pegawai kanan di pasar raya itu, menyatakan mereka memenangi tiga jongkong emas dan sebuah kereta Perodua Myvi setelah pembelian resit mereka tersenarai sebagai pemenang bertuah.

Kenny yang digambarkan berpakaian kemas sambil mempamerkan kadnya dengan tertera logo pasar raya tersebut meyakinkan pasangan itu bahawa tawaran hadiah itu adalah benar malah pertemuan Kenny dengan pasangan tersebut masih di dalam premis pasar raya berkenaan.

Warga emas itu yang tidak mengesyaki mereka akan ditipu terus bersetuju untuk mengikut Kenny mengambil jongkong emas yang dimenanginya di sebuah kedai emas yang terletak di lokasi berlainan di Cheras pada hari sama.

"Apabila sampai di kedai emas, ada tiga jongkong emas ditunjukkan kepada saya, saya sentuh emas itu memang berat dan padu dan saya percaya ini adalah emas betul.

"Kenny (suspek) menyuruh saya membeli ketiga-tiga ketul emas itu terlebih dahulu sebelum pihaknya membayar kembali kepada saya, tetapi saya hanya mampu membayar seketul emas sahaja yang bernilai RM18,000 dengan menggunakan kad kredit," katanya kepada Bernama di sini hari ini.




Suspek kemudian menasihatkan pasangan warga emas itu untuk menyerahkan jongkong emas kepadanya untuk disimpan bagi mengelakkan daripada dirompak namun selepas itu, Kenny menghilangkan diri dengan alasan untuk pergi ke tandas bersama ketulan emas tersebut.

Sementara itu, Halijah berkata, mereka seolah-olah dipukau dan tidak menyedari tindakan mereka di kedai emas terbabit.

"Saya tunggu Kenny lebih sejam tapi masih tidak muncul, barulah saya menyedari bahawa diri saya tertipu dan telah dirompak, saya kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, ini merupakan kali pertama kes seumpama itu dilaporkan dan pihak polis masih menyiasat identiti suspek, selain mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang tempoh setahun dan tidak melebihi 10 tahun, dan dengan sebatan. - Bernama

No comments:

Post a Comment