KOTA TINGGI - Seorang wanita tergamak bertindak membuang bayi yang baharu dilahirkannya dari tandas ke luar rumah sehingga menyebabkan bayi tersebut terjatuh ke dalam longkang di bahagian belakang rumah saudaranya di Felda Lok Heng dekat sini.
Bayi lelaki yang masih bertali pusat itu bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas dijumpai oleh penghuni rumah terbabit dalam keadaan tertiarap dan menangis di dalam longkang tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata dalam kejadian pada Jumaat lalu di mana anggota Kaunter Pertanyaan Balai Polis Bandar Penawar telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang wanita Melayu yang mengatakan dia dimaklumkan oleh jiran bahawa jirannya telah menemui seorang bayi lelaki yang masih hidup di dalam longkang belakang rumah.
Menurutnya, sepasukan polis telah berkejar ke tempat kejadian dan Klinik Lok Heng di mana bayi tersebut telah dihantar untuk mendapatkan rawatan.
"Hasil siasatan pihak polis mendapati seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan lebih kurang satu jam dan masih bertali pusat dijumpai oleh penghuni rumah tersebut dalam keadaan tertiarap dan menangis di dalam longkang,” katanya.
Katanya, bayi tersebut dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan dan seterusnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.
"Ekoran itu, anggota kita juga berjaya menahan seorang wanita dipercayai ibu bayi tersebut berusia 27 tahun beralamat dari Ulu Tiram yang telah melahirkan bayi terbabit di dalam tandas rumah saudaranya tanpa pengetahuan sesiapa,"katanya.
Rahmat berkata, siasatan lanjut mendapati wanita itu telah membuang bayi tersebut dari tandas ke luar rumah melalui ruang antara dinding dan bumbung sebelum terjatuh ke dalam longkang yang tidak mengandungi air dan hanya pasir basah.
Katanya, wanita terbabit telah ditahan reman selama tiga hari sehingga 4 Mei ini dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
- SH
No comments:
Post a Comment