Wednesday 13 May 2015

Buruh Mabuk Dipukul Dan Dibakar Hidup-hidup



Kota Bharu: Seorang buruh yang mati selepas dibakar hidup-hidup didapati dipukul terlebih dahulu di tempat lain oleh rakan sekerjanya sebelum dia dibakar di kebun kelapa sawit Jalan Kebun Cherang Tuli, Pasir Puteh, kelmarin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa dikenali sebagai Ramu Avali, 39, yang berasal dari Senai, Johor dipukul di sebuah rumah kongsi sebelum mangsa secara tiba-tiba tidak sedarkan diri.

Katanya, suspek yang menyangka mangsa meninggal dunia kemudian membawanya ke sebuah kebun kelapa sawit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dipukul untuk membakarnya bagi menghapuskan bukti.

“Bagaimanapun, kejadian itu disedari seorang wanita berusia 21 tahun yang sedang mencari lembu selepas terdengar mangsa mengerang kesakitan.

“Wanita itu memaklumkan kejadian kepada abangnya yang berusia 40 tahun sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang melecur seluruh badan meninggal dunia di lokasi kejadian beberapa minit selepas api berjaya dipadamkan,” katanya dalam sidang media selepas Program Perjumpaan dan Sesi Taklimat Pesara Polis Kontinjen Kelantan di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham selepas mangsa dipercayai menegur dan memukul salah seorang suspek berusia 60 tahun kerana mabuk.

“Rasa tidak puas hati terhadap tindakan mangsa itu menyebabkan suspek memukul mangsa denganmenggunakan senjata,” katanya.

Mazlan berkata, susulan kejadian itu enam suspek termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan sejam selepas kejadian untuk membantu siasatan.

“Lima suspek ditahan di rumah kongsi itu termasuk seorang kontraktor dan sepasang suami isteri. Manakala seorang suspek ditahan di Jertih, Terengganu dipercayai dalam usaha melarikan diri.

“Polis turut merampas beberapa barang milik suspek termasuk enam telefon bimbit, satu mata gergaji tanpa hulu, batang paip polivinil klorida (PVC) dan satu tong kosong putih.

“Semua suspek direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

- HM

No comments:

Post a Comment