Wednesday 13 May 2015

Lelaki Dibunuh Dan Bakar Berhampiran Pencawang Elektrik



Kulim: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui dengan kesan separuh terbakar berhampiran pencawang elektrik di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Bukit Chong, Sungai Karangan, di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, mayat lelaki dipercayai berusia 20-an yang belum dikenal pasti ditemui oleh tiga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang baru hendak membuat pemeriksaan di pencawang kira-kira 10.45 pagi.

Menurutnya, mayat lelaki yang mempunyai tatu pada badan dan lengan kanan ditemui dalam keadaan tersembam di atas timbunan pakaian serta kain terpakai dengan kedua belah tangan diikat serta tengkuk dililit dengan kain.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas mayat mendapati kesan beberapa tetakan di bahagian kepala serta terbakar separuh badan dari perut hingga kaki.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan mayat lelaki itu dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Setakat ini pihak polis sedang mengenal pasti identiti mangsa dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-4916999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

- HM

No comments:

Post a Comment