Friday, 1 May 2015

Pembantu Rumah Dipukul Dengan Besi Dan Rotan



Selayang: Seorang pegawai imigresen dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan mendatangkan cedera parah pembantu rumah warga Indonesia menggunakan besi dan rotan di sebuah kondominium di Jalan Medan Selayang 2, dua minggu lalu.

Shahrul Azyrin Ahmad, 31, dan Zulaikha Nordin, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Pasangan yang mempunyai dua anak perempuan masing-masing berusia tiga tahun dan enam bulan itu kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa berusia 22 tahun itu menggunakan senjata berkenaan di rumah mereka.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Selain itu, mereka juga didakwa bersama-sama memperdagangkan pembantu rumah warga Indonesia menggunakan kekerasan iaitu memukul mangsa dengan batang besi dan rotan.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 20 tahun serta denda, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, pasangan itu turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki atas dua lagi pertuduhan mengambil mangsa bekerja tanpa permit serta memiliki pasport wanita itu tanpa milik yang sah.

Bagi pertuduhan mengambil kerja tanpa permit itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan memiliki pasport wanita itu tanpa milik yang sah pula dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Pasport dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM26,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan melaporkan diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zulia Balkqish Syed Agil sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhamad Zahid Ahmad dan M Sivam.

Akhbar semalam melaporkan sepasang suami isteri diberkas polis selepas didapati mendera teruk seorang pembantu rumah yang diambil bekerja sebelum membuang mangsa ke dalam hutan.

- HM

No comments:

Post a Comment