Wednesday 13 May 2015

Penjenayah "WANTED" Mati Ditembak



Butterworth: Polis menembak mati penjenayah amat dikehendaki yang mempunyai 54 rekod jenayah lampau dalam kejadian berbalas tembak di Jalan Kubur, Butterworth, 5 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, dalam kejadian itu sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah SPU terbabit dalam Op Cantas Khas menahan suspek, K Jevanantha, 49, ketika menunggang motosikal.

"Suspek memberhentikan motosikalnya pada jarak kira-kira tiga meter dari pegawai dan anggota bertugas sebelum terus melepaskan empat das tembakan ke arah polis dan satu daripada peluru mengenai bahagian kanan kenderaan polis.

"Bagi mempertahankan diri anggota terbabit melepaskan empat das tembakan yang mengenai dada dan kepala suspek menyebabkan lelaki berusia 49 tahun itu rebah dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Abdul Rahman berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya kemudian merampas pistol semi automatik jenis Browning bersama empat lagi peluru iaitu tiga dalam kelopak dan satu lagi dalam laras senjata.

Selain, aktif melakukan jenayah termasuk tiga kes bunuh, 17 kes samun dan kes curi kenderaan di Pulau Pinang suspek juga mempunyai rekod di Kedah, Perak, Johor dan Pahang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan kami kini sedang mengesan ahli keluarga suspek untuk tindakan selanjutnya," katanya.

- HM

No comments:

Post a Comment