Monday, 11 May 2015

Samun Hotel Bajet, Menyamar Polis



KUANTAN - Empat individu termasuk dua wanita diberkas selepas disyaki terlibat kes samun hotel bajet dengan menyamar sebagai anggota polis di sini, awal pagi semalam.

Suspek berusia 22 hingga 28 tahun berasal dari Kuantan dan Pekan itu ditahan jam 7.30 pagi semalam ketika bersembunyi di sebuah bilik hotel di Jalan Wong Ah Jang, di sini.

Seorang daripada mereka ditahan di kawasan Taman Perumahan Seri Kuantan selepas cuba melarikan diri dengan memecut motosikal dinaiki setelah terserempak dengan polis ketika berada di hadapan hotel yang sama.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian samun bilik hotel oleh empat individu yang menyamar sebagai anggota polis menggunakan sepucuk ‘pistol’.

Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek dikatakan menyerbu masuk ke hotel berkenaan sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mengacukan ‘pistol’ sebelum memaksa mangsa menyerahkan wang serta telefon bimbit.

“Berdasarkan maklumat, polis bertindak menyerbu sebuah bilik hotel di Jalan Wong Ah Jang.

“Hasil pemeriksaan berjaya mengesan suspek, seorang lelaki berusia 22 tahun bersama dua wanita berusia 23 dan 24 tahun di dalam sebuah bilik,” katanya.

Abdul Aziz berkata, semasa anggotanya keluar dari hotel bersama tiga suspek itu, mereka terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di atas sebuah motosikal di hadapan hotel.

“Anggota kita menghampiri lelaki itu untuk pemeriksaan bagaimanapun sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, dia bertindak memecut motosikal yang ditunggang ke arah Jalan Beserah untuk melarikan diri.

“Tindakan itu memaksa polis mengejarnya hingga ke Taman Perumahan Seri Kuantan sebelum dia berjaya ditahan selepas motosikal itu bertembung dengan sebuah kereta peronda yang mengerakkan bantuan mengejarnya,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat mereka mengaku terlibat dalam kes samun sebelum ini bersama seorang lagi yang masih bebas dikenali sebagai ‘Arif’.

“Kita sudah berjaya mengenal pasti suspek yang masih bebas itu dan gerakan mengesannya masih dijalankan,” katanya sambil memberitahu hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif dadah amphetamine.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes ditahan mengikut Seksyen 147/39 Kanun keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan samun,” katanya.




- SH

No comments:

Post a Comment