Saturday 16 May 2015

Suami Cederakan Isteri Didenda RM2000


KUALA LUMPUR - Padah mencederakan isteri sendiri, seorang suami didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang, di sini hari ini.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhi hukuman itu terhadap ejen insurans Wan Huzairin Wan Hussin, 41, selepas dia mengaku bersalah mencederakan seorang kerani, Nor Hayati Ahmad Mokhtar, 39.

Wan Huzairin didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan rumah kedai No 28C, Tingkat 3, Jalan 6/2, Taman Komersial Pandan Indah, Ampang Jaya, di sini pada jam 7 petang, 11 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa pulang ke rumah setelah diberitahu suaminya berlaku curang dan disyaki berada bersama perempuan lain di rumah mereka.

Sebaik tiba di rumah, wanita itu tidak dapat masuk kerana pintu dikunci dan suaminya enggan membuka pintu sebaliknya mengajaknya berbincang.

Mangsa bagaimanapun mendesak tertuduh membuka pintu dan akhirnya dia membuka pintu dalam keadaan marah sebelum menampar, menumbuk, menarik rambut dan memulas lengan mangsa sehingga wanita itu cedera di kedua-dua belah lengan, bengkak di belakang kepala dan sakit di beberapa bahagian badan.

Terdahulu tertuduh yang diwakili peguam Fadlyzil Ikram Norzailan Shah memohon hukuman ringan dengan alasan itu merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

Pegawai Pendakwa Raya, Inspektor Nur Illyana Zainal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. - Bernama

No comments:

Post a Comment