Friday, 8 May 2015

“Terima kasih Yang Arif,”



Ipoh: “Terima kasih Yang Arif,” demikian jeritan kegembiraan seorang lelaki sebaik Mahkamah Tinggi, di sini, membebas dan melepaskannya daripada tuduhan membunuh seorang pemilik kedai runcit dalam kejadian samun pada Disember 2010, semalam.

Tertuduh, Mohd Amiza Redzuin Dzulkafli, 28, yang juga bekas pekerja kilang kemudian dilihat duduk sambil menadah tangan tanda kesyukuran kerana terlepas hukuman gantung sampai mati sebelum memeluk ibu bapanya yang hadir mendengar keputusan mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin membuat keputusan tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa perlu pembelaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atasnya manakala pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa bersama seorang lagi individu yang masih bebas membunuh R Muniandy, 64, di kedai runcit Syarikat Seri Devi, Taman Perpaduan, di sini, antara jam 8.55 malam hingga 9.15 malam, 22 Disember 2010.

Mohd Amiza didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama kerana membunuh yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

- HM

No comments:

Post a Comment