Kota Tinggi: Badannya dipenuhi dengan tangkal namun ia gagal melindungi lelaki warga asing yang disyaki mengetuai satu kumpulan pecah rumah selepas dia ditangkap polis di rumah kongsi di Ladang Foh Chong, di sini, Khamis lalu.
Lelaki berumur 27 tahun itu ditahan dalam operasi khas dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi jam 11 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, sebaik mengesan kedudukan suspek, polis menyerbu premis berkenaan menyebabkan berlaku pergelutan.
Katanya, suspek cuba melawan untuk memboloskan diri, namun gagal dan diberkas.
“Pemeriksaan ke atas badan suspek menemui pelbagai jenis tangkal dipercayai untuk melindungi dirinya, tetapi kecekapan polis menewaskannya,” katanya.
Menurutnya, suspek yang tiada dokumen perjalanan itu menjadi buruan susulan kejayaan polis menangkap lapan rakannya di sekitar daerah ini pada Mac lalu.
“Kita yakin suspek adalah ketua kumpulan pecah rumah itu dan mereka dilumpuhkan dengan penangkapan suspek berumur 33 hingga 43 tahun di rumah di Ladang Ulu Papan pada 8 Mac lalu,” katanya.
- HM
No comments:
Post a Comment