Petaling Jaya: Tindakan seorang pengedar dadah warga Nigeria menjadikan mesin basuh sebagai tempat menyimpan dadah terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah di Apartmen Mentari Court di sini, malam kelmarin.
Lelaki berusia 30 tahun yang mengaku pelajar sebuah universiti tempatan itu ditahan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman kira-kira jam 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim yang mengesahkan perkara itu berkata, suspek ditahan di depan sebuah lif di Blok E apartmen berkenaan.
“Susulan tangkapan itu, polis menyerbu rumah suspek dan menemui 21 peket lutsinar dadah jenis ganja yang disimpan dalam mesin basuh di bahagian dapur rumahnya.
“Selain itu, polis turut menemui satu beg berwarna biru tertulis nama seorang individu dikenali sebagai ‘Eriks’ mengandungi 81 peket lutsinar dadah jenis ganja seberat lebih satu kilogram,” katanya.
Menurut Azmi, dadah yang dirampas dianggarkan lebih 21 kilogram dengan nilai rampasan mencecah RM60,000.
Katanya, pemeriksaan pada badan suspek menemui sembilan anak kunci termasuk kunci rumah suspek, pasport dan tiga telefon bimbit model iPhone dan Nokia.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun twitter rasminya mengucapkan tahniah kepada STING dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan berkenaan.
- HM
No comments:
Post a Comment