PASIR PUTEH – Bapa borek anak rintik. Demikian gambaran dapat diberi kepada seorang bapa bersama anak tiri lelakinya yang ditangkap selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran pil kuda di sebuah rumah tidak bernombor dekat Kampung Dalam Pupuh Saring, di sini Jumaat lepas.
Kedua-dua beranak berusia 44, dan 18 tahun itu ditahan ketika sedang leka berjudi bersama enam lagi individu berusia 16 hingga 48 tahun kira-kira pukul 1.30 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad, pemeriksaan ke atas bapa dan anak tiri lelakinya itu menemui 1,397 biji pil berwarna merah dipercayai pil kuda dianggarkan bernilai RM41,000.
“Selain itu, pemeriksaan juga menemui 11 lagi pil yang sama di dalam poket seluar salah seorang remaja berusia 19 tahun yang turut berjudi,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini semalam.
Selain itu, satu set daun terup dan wang berjumlah RM149 dipercayai sebagai wang pertaruhan perjudian turut dirampas.
-kosmo
No comments:
Post a Comment