DUNGUN - Kehilangan warga emas, Jusoh Abdullah, 79, sejak lima hari lalu setelah keluar rumah untuk ke kebun getah di Kampung Tepus, terus menjadi misteri apabila dia gagal dikesan sehingga kini.
Penemuan basikal milik mangsa kira-kira 3.5 kilometer dari kediaman yang digunakan ketika keluar rumah, juga tidak memberikan sebarang petunjuk baharu untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.
Menantu mangsa, Wan Ahmad Faizal Wan Draman, 37, berkata, memandangkan usaha cari bapa mertuanya masih gagal, ahli keluarga terpaksa cuba kaedah lain antaranya guna khidmat bomoh.
"Kami bimbang keselamatannya. Walaupun dia tidak menghidap sebarang penyakit kronik, namun usianya sudah tua. Jadi, selain usaha dijalankan agensi terlibat, kami turut menggunakan kaedah alternatif dengan harapan dia ditemui dalam keadaan selamat.
"Kami memanggil bomoh kanak-kanak berusia 9 tahun yang dipercayai mampu melihat alam mistik. Setakat ini usaha mengesan bapa masih dijalankan dengan dibantu bomoh cilik itu dan datuknya yang berusia 60-an,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, pihaknya menjalankan operasi menyelamat sebaik sahaja menerima laporan, termasuk menggunakan khidmat unit K9 di sekitar kebun getah, kira-kira 500 hingga 800 meter dari tempat basikal mangsa ditemui.
Kata Ahmad Zailani, pihaknya turut meminta bantuan daripada Pasukan Gerakan Am, Angkatan Tentera Malaysia dan pesawat Unit Udara PDRM bagi melancarkan lagi usaha mencari mangsa.
"Seramai 11 anggota polis termasuk pegawai dan unit K9 serta enam anggota bomba dengan dibantu 200 penduduk berganding bahu melancarkan operasi, namun setakat ini masih tidak berhasil.
"Jadi, sekiranya permohonan diluluskan, pencarian dari udara akan dijalankan segera secara menyeluruh bagi mengesan warga emas ini,” katanya.
Berdasarkan laporan polis dibuat anak mangsa, Jusoh memakai baju kelabu dan berseluar kuning cair ketika keluar rumah dan kelibat terakhirnya dilihat di kebun getah pada sebelah pagi hari kejadian.
-SH
No comments:
Post a Comment