Monday, 6 April 2015

Peniaga Boikot Jual Topup



SHAH ALAM - Gara-gara tersepit antara kerajaan dan rakyat, ada peniaga kini mengambil langkah drastik dengan menghentikan jualan kad tambah nilai ke atas pelanggan.

Di laman sosial kini tersebarnya beberapa foto premis jualan yang mempamerkan notis enggan menjual kad tambah nilai prabayar disebabkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menekan mereka.

“Tak (tidak) jual top up (kad tambah nilai prabayar) sebab kami untung 3 peratus, kerajaan untung 6 peratus. Kalau mahu marah, marah dulu kerajaan.

“… Kami bukan mahu tipu 6 peratus,” katanya memetik satu notis yang terdapat di sebuah premis.

Bagaimanapun lokasi sebenar premis perniagaan tersebut tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Ma'amor Osman berkata, kerajaan seharusnya mengkaji semula kelayakan untuk mengenakan kadar GST yang diwajibkan ke atas peniaga.

“Kita tengok peniaga kecil seperti penjual kad tambah nilai, pendapatan mereka tidak seberapa. Mungkin bawah RM5,000 sebulan. Adalah tidak wajar sekiranya kerajaan terus mengenakan GST ke atas mereka kerana ia akan menghimpit para peniaga.

“Mereka ini (peniaga) tidak mahu membebankan pengguna dan pelanggan mereka, tetapi dalam masa yang sama mereka juga harus jelaskan kadar GST yang dikenakan kerajaan terhadap mereka, apa patut mereka buat? Sebab itulah mereka bertindak sedemikian,” katanya ketika menjawab kepada Sinar Online hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta kerajaan mengkaji semula kelayakan pengutipan GST yang dikenakan terhadap peniaga.

“Antara syarat pendaftaran GST bagi syarikat-syarikat termasuk pendapatan yang melebihi RM500,000 sebulan. Sekiranya peniaga kecil hanya berpendapatan RM5,000, mereka tidak layak,” katanya lagi.




-SH

No comments:

Post a Comment