Friday, 24 April 2015

Dadah, Bahan Letupan Dan Pistol Bersama Lelaki Ditahan



Johor Bahru: Lelaki berusia 47 tahun yang ditahan bersama dadah, bahan letupan dan pistol di pangsapuri di Jalan Masai Baru di Plentong, di sini, pada Isnin lalu, dikenal pasti salah seorang daripada anggota sindiket pengedaran dadah di sekitar Johor Bahru.

Suspek pernah ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika melakukan samun serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan melakukan samun bersenjata.

Suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan kes mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata, lelaki itu ditahan dalam satu operasi khas oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Menurutnya, dalam operasi jam 9 malam, sebanyak 32.62 gram syabu dan 359.61 gram serbuk putih disyaki jenis kafien dirampas.

Katanya, nilai rampasan syabu adalah RM16,000, manakala mengikut harga pasaran di bandar raya itu dianggarkan nilai kafien terbabit kira-kira RM1,000.

“Sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama 13 butir peluru hidup, dua silinder dipercayai bahan letupan turut dirampas.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek itu sendiri positif dadah dan ditahan reman sehingga 27 April ini,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39B ADB 1952.

Sementara itu, lapan lelaki warga asing geng Samun Rantau ditahan di Kulaijaya pada 16 April lalu hasil kerjasama dengan polis Melaka.

Ismail berkata, lelaki warga negara jiran itu berusia antara 22 hingga 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kejadian samun di Johor dan Melaka.

Menurutnya, polis turut merampas 13 telefon bimbit, kamera dan rantai leher daripada kumpulan lelaki itu.

“Suspek direman sehingga 30 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

- HM

No comments:

Post a Comment