Friday, 24 April 2015

Urusniga Dadah Langkawi RM60,000 Sehari



Langkawi: Dua lokasi panas yang menjadi lubuk aktiviti penyalahgunaan dadah digempur Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman, sekali gus menahan 180 individu termasuk dua wanita atas pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Sarang, semalam.

Serbuan dilakukan selama dua hari bermula jam 5.30 pagi kelmarin di Kampung Tanjung Lembung dan Taman Nilam, di sini, membabitkan 150 pegawai dan anggota STING dengan bantuan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, Pasukan Polis Marin (PPM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Komander II STING Senior Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid berkata, tiga pengedar dadah warga tempatan ditahan, sekali gus merampas heroin seberat 150 gram, 6.68 gram syabu dan 12 kilogram daun ketum.

Menurutnya, daripada semua yang ditahan termasuk dua wanita berusia antara 13 hingga 55 tahun, 125 positif dadah dengan 90 peratus positif candu selepas ujian saringan air kencing dilakukan.

“Polis percaya Ops Sarang mampu melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di pulau bebas cukai itu selepas tiga pengedar ditangkap manakala tujuh lagi diburu.

“Kejayaan ini hasil perancangan rapi dan pendekatan baru lebih holistik digunakan dengan gabungan kepakaran milik polis, PPM dan AADK dengan matlamat memutihkan lubuk dadah di sini.

“Siasatan mendapati urus niaga dadah di pulau ini bernilai RM60,000 sehari dengan bekalan dipercayai dibawa masuk menerusi laluan laut sebelum diedarkan di dua lubuk berkenaan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Izhar Abu Talib, Pengarah AADK Kedah Mohammad Nazer Mustafa dan Ketua Polis Langkawi Superintendan Harrith Kam Abdullah.

Roslan berkata, setakat ini pengedar dadah di Langkawi memperoleh bekalan utama daripada pengedar yang bergerak licik di negara jiran, selain Alor Setar dan Pulau Pinang.

“Kami menggunakan pendekatan baru yang pertama kali dibuat di negara ini iaitu serbuan dilakukan di lubuk dadah sebelum mereka ditahan dibawa ke pejabat AADK untuk ujian saringan air kencing.

“Selepas didapati positif dadah menerusi pengesahan pegawai perubatan dari Pejabat Kesihatan, penagih tdihantar ke Kuala Perlis, Perlis menerusi bot sebelum menaiki kenderaan yang menunggu ke pusat serenti ditetapkan.

“Kaedah ini lebih cepat dan tidak memerlukan penagih atau pengedar ditahan menjalani perintah reman dan menunggu lama dalam lokap sebelum dihantar menjalani rawatan pemulihan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan sama akan digunakan dalam operasi yang bakal dijalankan di beberapa tempat lain dalam tempoh terdekat.

- HM

No comments:

Post a Comment