Sunday 26 April 2015

Lelaki Cuba Merompak Ditahan


MELAKA - Tindakan pantas anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal dan Unit Cegah Jenayah berjaya menahan seorang lelaki yang sedang melakukan rompakan di sebuah rumah di Taman Cheng Baru di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, suspek lelaki berusia 20-an warga tempatan itu ditahan ketika melakukan rompakan bersama dua lagi rakannya, juga warga tempatan. 

Beliau berkata enam sekeluarga bersama pembantu rumah berdepan detik cemas apabila tiga lelaki berusia antara 20-an dan 30-an serta bersenjatakan parang itu memasuki rumah mereka melalui bahagian dapur kira-kira 11 pagi tadi.

"Polis menerima panggilan pada 11.45 pagi dan hasil maklumat tersebut, polis terus ke tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shaikh Abdul Adzis, bagaimanapun berkata dua suspek berjaya melarikan diri dipercayai bersama wang tunai dan barang kemas bernilai RM20,000.

"Polis percaya rompakan tersebut sudah dirancang dan kini sedang giat memburu dua suspek itu. Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek supaya menghubungi pihak polis," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment