Sunday 26 April 2015

Dua Belas Individu Rancang Huru-harakan Negara



SHAH ALAM - Polis menahan 12 individu di Hulu Selangor dan Kuala Lumpur dipercayai ‎merancang untuk melakukan huru-hara terhadap negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Sri Khalid Abu Bakar berkata, ‎kejayaan itu susulan daripada tindakan pantas Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas yang melancarkan satu operasi bersepadu dalam mengekang tindakan individu-individu ini.

"Pada 25 dan 26 April 2015 Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas telah melancarkan satu operasi di Hulu Langat, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur ke atas anggota kumpulan pengganas yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas IS.

"Seramai 12 orang suspek lelaki warganegara Malaysia berusia dalam lingkungan umur 17 hingga 41 tahun telah berjaya ditangkap kerana disyaki sedang merancang untuk melancarkan serangan ke atas sasaran-sasaran strategik dan berkepentingan kerajaan di sekitar Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata tindakan mereka ini adalah kerana terpengaruh dengan dakyah pemimpin mereka atas faktor Malaysia negara sekular.

"Rancangan untuk melancarkan serangan oleh anggota sel ini adalah sebagai menyahut seruan pemimpin kanan Is di Syria, untuk melancarkan serangan ke atas kepentingan negara Islam sekular yang didakwa sebagai musuh mereka.

" ...dan sebagai tindak balas terhadap operasi penangkapan ke atas mereka yang disyaki terlibat atau mempunyai kaitan dengan IS oleh PDRM, jelasnya.

Sementara itu, Khalid berkata dalam operasi tersebut, pihak polis telah berjaya merampas serbuk bahan letupan, bendera IS dan beberapa lagi peralatan dipercayai untuk digunakan bagi menghasilkan bahan letupan.

Katanya lagi kesemua 12 orang lelaki berkenaan ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di Bab VIA-Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (Akta 747).




-SH

No comments:

Post a Comment