Georgetown: Panggilan daripada seorang wanita misteri yang menghidu bau busuk datang dari dalam sebuah kotak membawa kepada penemuan mayat lelaki sudah berulat di atas bumbung rumah kedai dua tingkat di Lebuh Victoria, di sini, semalam.
Mayat lelaki terbabit ditemui jam 4.30 petang oleh anggota polis dalam keadaan dibungkus menggunakan selimut dan disumbat dalam kotak sebelum ditinggalkan atas bumbung bangunan itu.
Difahamkan, mangsa warga Myanmar berusia lingkungan 30-an dan dipercayai meninggal dunia akibat menghidap penyakit sebelum mayatnya dibungkus dan diletakkan dalam kotak berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis pada mulanya menerima panggilan daripada seorang wanita mendakwa menghidu bau busuk.
“Namun, wanita berkenaan enggan memberikan butiran identitinya dan susulan panggilan berkenaan, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk memeriksa kandungan kotak terbabit.
“Sejurus kotak dibuka, polis menemui mayat lelaki yang sudah berulat dan anggota forensik dipanggil untuk melakukan pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kematian mangsa bukan berunsur jenayah dan polis tidak menemui kesan kecederaan pada anggota badan lelaki terbabit.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
“Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada beberapa lelaki warga Myanmar yang tinggal di rumah kedai berkenaan,” katanya.
- HM

No comments:
Post a Comment