Shah Alam: Polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan yang membabitkan dua lelaki termasuk salah seorangnya adalah sami di kilometer 10, Jalan Bristol menghala ke Kuang, Rawang, Selasa lalu, hasil tangkapan tiga lelaki kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, semua suspek berusia 18 hingga 22 tahun itu ditahan di tiga lokasi berasingan masing-masing di sebuah rumah di Taman Pelangi, Rawang; di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan di sebuah premis di Persiaran Rejang, Setapak.
Beliau berkata, polis juga berjaya menemui semula cincin dan rantai emas milik seorang daripada mangsa yang dibunuh suspek ketika kejadian.
“Polis merampas barangan kemas seperti cincin dan rantai emas kepunyaan mangsa di sebuah kedai pajak gadai di Pekan Rawang pada hari sama semua suspek ditahan.
“Polis percaya kes pembunuhan dua individu terbabit selesai namun dalam masa sama polis masih mengesan beberapa individu lain untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.
Menurutnya, polis juga turut merampas pelbagai barangan antaranya baju, seluar dan kasut yang digunakan suspek ketika kejadian.
Katanya, polis sudah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk ketiga-tiga suspek bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dijalankan.
Rabu lalu, Harian Metro melaporkan dua lelaki disembelih serta dijerut sampai mati oleh empat rakan lain hanya kerana mangsa berang dengan usikan dilemparkan suspek.
- HM
No comments:
Post a Comment