Sunday, 5 April 2015

Mayat Lelaki Bogel Dan Nota Kecil



Kuala Lumpur: Penemuan mayat lelaki bogel berbungkus kanvas merah menggemparkan penduduk kawasan perumahan PPR Sri Rakyat, Bukit Jalil, semalam.

Dalam kejadian jam 8.16 pagi itu, penduduk dikenali sebagai Mohamad menemui mayat berkenaan dan pada mulanya hanya nampak kaki manusia di dalam bungkusan kanvas itu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, Mohamad menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras sebelum sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati mayat berkenaan diletakkan di tepi bangunan Blok C kawasan perumahan itu dalam keadaan mencurigakan dengan dibungkus kanvas berwarna merah.

“Mayat berkenaan ditemui dalam keadaan bogel dan pemeriksaan mendapati tiada kesan luka ataupun tusukan objek tajam pada tubuh si mati, tetapi ada ikatan dengan tali pada kedua-dua hujung ibu jari kaki si mati.

“Tiada senjata atau kesan tompokan darah ditemui pada badan si mati dan juga sekitar tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui satu nota kecil yang tertulis butiran si mati iaitu nama si mati, negara asal dan juga agama disyaki ditulis individu yang tidak bertanggungjawab meletakkan mayat si mati di tepi bangunan.

“Pemeriksaan pasukan forensik juga gagal menemui bukti mengenai kejadian itu dan dipercayai tiada unsur jenayah dalam kematian si mati.

“Mayat berkenaan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat,” katanya.




-HM

No comments:

Post a Comment