Seremban: Seorang penuntut Kolej Vokasional Ampangan, di sini, cedera di kepala akibat dipukul sekumpulan enam lelaki termasuk pengawal keselamatan kolej itu dan anak lelakinya.
Kejadian berlaku jam 5.05 petang Rabu lalu menyebabkan mangsa berusia 17 tahun itu mengalami lebam di kepala dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
Difahamkan kejadian itu sempat dirakam rakannya sebelum video berdurasi satu minit 40 saat itu dimuat naik dan tersebar di laman sosial Facebook serta YouTube pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, susulan laporan dibuat mangsa kelmarin, polis melakukan siasatan lanjut dan berjaya memberkas empat daripada enam suspek berusia 21 hingga 58 tahun termasuk pengawal keselamatan terbabit dan anaknya pada hari sama.
Beliau berkata, polis kini giat memburu dua lagi suspek berusia 32 dan 22 tahun bagi melengkapkan siasatan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Siasatan awal dan berdasarkan kenyataan pengadu (mangsa) kejadian serangan itu dipercayai kerana perasaan tidak puas hati kumpulan suspek apabila pengadu dan rakannya dikatakan mengutuk pengawal itu.
“Kejadian berlaku selepas mangsa tamat belajar jam 5.05 petang apabila dia didatangi beberapa lelaki dan pengawal keselamatan itu yang terus memukulnya tanpa bertanya apa-apa.
“Selain menggunakan tangan, mangsa juga dipukul dengan payung di kepala sebelum suspek beredar,” katanya.
Muhamad Zaki berkata, empat suspek yang ditahan itu adalah pengawal keselamatan dan anaknya peniaga racun serangga masing-masing berusia 58 dan 27 tahun serta graduan kolej swasta berusia 27 dan 21 tahun.
Katanya, polis merampas pakaian, rantai besi dan sebuah kereta Myvi daripada suspek selain sudah merakam keterangan pengadu dan rakannya yang merakam video serangan itu bagi melengkapkan siasatan.
“Ujian saringan keempat-empat didapati negatif selain mereka tiada rekod jenayah lampau,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan negeri Datuk Kalsom Khalid berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian.
“Saya difahamkan keluarga mangsa sudah buat laporan polis,” katanya.
No comments:
Post a Comment