Monday 27 April 2015

Pelajar "Jeling" Lebam Mata Dipukul



Ampang: Seorang remaja perempuan lebam mata kiri selepas dibelasah rakan sekolahnya yang tidak berpuas hati dengan perbuatan mangsa menjelingnya dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Pandan Mewah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, mangsa dikatakan menjeling rakannya itu yang juga pelajar tingkatan tiga. Tindakan itu menyebabkan rakannya itu naik berang sebelum menyergah mangsa.

Menurut sumber, rakannya itu turut membawa bersama beberapa rakannya yang lain untuk menggertak mangsa sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Katanya, seorang daripada kumpulan itu kemudian bertindak agresif menyerang mangsa dengan menumbuk mata kirinya sehingga lebam.

“Sebaik diserang mangsa terus melarikan diri sebelum dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa membuat laporan polis oleh bapanya sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berkenaan dan usaha mengesan semua remaja terbabit untuk siasatan lanjut sedang dijalankan.

- HM

No comments:

Post a Comment