SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil kesemua 153 pemilik kenderaan diklon dianggarkan bernilai RM13 juta yang dirampas dalam satu operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.
Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, kesemua pemilik ini dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa.
“Kebanyakan pemilik tinggal di Kelantan dan Terengganu. Mereka akan dipanggil dalam tempoh dua minggu ini untuk membantu siasatan berhubung pemilikan kenderaan tanpa dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, orang ramai yang membeli kereta klon atau lusuh dari Singapura dan menggunakannya secara tidak sah diminta menyerahkan kenderaan berkenaan di pejabat SPRM berdekatan kediaman mereka.
Katanya, tindakan memiliki kenderaan jenis itu adalah kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Setakat ini, SPRM Negeri Sembilan sudah menerima dua kenderaan jenis ini yang diserahkan secara sukarela," katanya.
Menurutnya, minggu lalu, SPRM Negeri Sembilan berjaya menahan tujuh individu dan menyita 14 kenderaan mewah pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.5 juta yang disyaki diseludup masuk dari negara luar.
Menurut Azam, SPRM dan JPJ akan melakukan operasi secara besar-besaran bagi mengesan kenderaan klon ini di seluruh negara dan pihak berkuasa akan terus menahan kesemua pemilik kenderaan ini bagi tujuan soal siasat sekiranya mereka berjaya dikesan.
-SH
No comments:
Post a Comment