Thursday, 23 April 2015

Remaja Dibelasah Dan Disamun



Ipoh: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bukan saja dibelasah, malah disamun sekumpulan mat rempit sebelum kumpulan itu bertindak membakar sebuah motosikal milik ibu rakan mangsa dalam kejadian di Flat Pei Lok, Kampung Paloh di sini, awal pagi Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa cedera di pinggang dan tangan akibat dibelasah kumpulan terbabit termasuk dihentak menggunakan pasu bunga.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara mangsa dengan seorang daripada ahli kumpulan berkenaan menyebabkan mereka kemudian datang menyerang mangsa.

“Ketika mangsa bersama rakannya berbual di bahagian bawah flat itu, secara tiba-tiba mereka didatangi sekumpulan kira-kira 50 lelaki yang menaiki motosikal.

“Kumpulan berkenaan terus menyerang mangsa dan rakannya, namun rakan mangsa sempat melarikan diri manakala mangsa yang berseorangan dibelasah kumpulan itu dengan pasu bunga dan spring panjang,” katanya, semalam.

Sumber itu berkata, kumpulan itu juga bertindak lebih ganas dengan membakar sebuah motosikal Honda EX5 milik ibu rakan mangsa sebelum meninggalkan mangsa terbaring kesakitan.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan dan ditahan di wad selama satu hari selain menerima enam jahitan akibat cedera di pinggang kiri dan tangan,” katanya.

Katanya, susulan kejadian itu, polis terus menjalankan Ops Roda dan Ops Cantas Khas Mat Rempit di sekitar Ipoh, Ahad lalu dari jam 1 hingga 7 pagi sebelum menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun kerana menunggang motosikal curi, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek terbabit dengan kejadian membelasah mangsa.

“Dalam Ops Roda itu, sebanyak 65 motosikal diperiksa di Jalan Pasir Puteh, Silibin, Jelapang, Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Sultan Azlan Shah dengan 14 motosikal disita dan 29 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan.

“Ops Cantas Khas Mat Rempit yang dijalankan di Jelapang Jaya, Jelapang dan Pasir Puteh pula, lapan orang diperiksa dan seorang remaja lelaki diberkas serta sebuah motosikal dirampas selepas mendapati nombor enjinnya diubah suai selain dilaporkan hilang pada November tahun lalu,” katanya.

- HM

No comments:

Post a Comment