Friday, 10 April 2015

Pengawal Keselamatan Dan Operator Kilang Bunuh Warga Indonesia


PETALING JAYA - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh seorang lelaki warganegara Indonesia dan seorang penyelia wanita pusat karaoke bulan lepas.

Muhammad Hafiz Saifuddin, 26, pengawal keselamatan dan Muhammad Saiful Muhammad Azmi, operator kilang, 24, didakwa membunuh Lukmanul Hakim, 28, di tangga Premis Aladdin Karaoke No 1 Bangunan Perniagaan Sunway Mentari, Sungei Way, di sini antara pukul 1 dan 1.25 pagi, 25 Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa membunuh Norlia Alias, 40, di hadapan premis No 2 Bangunan Perniagaan Sunway Mentari, Sungei Way, di sini pada waktu dan tarikh sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dua lagi rakan yang masih bebas iaitu Muhammad Zami Ramale dan Muhammad Syafiq Saifuddin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat manakala peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri dan Shah Rizal Abdul Manan mewakili Muhammad Hafiz manakala Muhammad Saiful tidak diwakili peguam. - Bernama

No comments:

Post a Comment