SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki yang dikehendaki polis maut dalam satu kejadian berbalas tembakan di atas jejantas laluan Kuala Kangsar-Ipoh berhampiran Salak, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an yang menaiki kereta Proton Waja dilihat memecut laju ke arah Sungai Siput sebelum dikejar polis.
Tiba di tempat kejadian, kenderaan berkenaan didapati terbabas dan suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah polis.
Polis membalas tembakan untuk mempertahankan diri sebelum berjaya menumpaskan mangsa.
Penjenayah berusia 32 tahun yang ditembak mati polis di Jambatan Salak, Sungai Siput, pagi tadi, amat dikehendaki berhubung kes bunuh seorang lelaki di Simpang Pulai pada 2013.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek yang dikenali sebagai K Mehavarnan turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau lain membabitkan dua kes dadah dan satu kes mendatangkan kecederaan.
Menurutnya, dalam kejadian jam 5 pagi itu, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak yang sedang melakukan tugas Ops Cantas Khas di sekitar daerah itu terserempak dengan suspek dan mengarahkannya memberhentikan kenderaan namun suspek terus memecut laju keretanya.
Katanya, suspek kemudiannya bertindak melepaskan tembakan kepada polis sebelum tembakan balas terpaksa dilakukan anggota dan mengenai suspek yang mati di tempat kejadian.
"Polis berjaya merampas sepucuk pistol berisi dua butir peluru hidup dan lapan lagi butir peluru hidup di dalam beg manakala satu plastik lutsinar berisi bahan berwarna putih disyaki dadah turut dirampas.
"Kereta digunakan suspek turut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Pekan Bharu, Ipoh sebelum ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, sebentar tadi.
No comments:
Post a Comment