Friday, 10 April 2015

Suami Isteri Terpedaya Dengan Jongkong Emas



CHERAS - Sepasang suami isteri kerugian RM18,000 apabila terpedaya dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai kakitangan sebuah pasar raya yang mendakwa pasangan itu memenangi sebuah kereta Perodua Myvi dan tiga jongkong emas, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, mangsa berusia 74 tahun bersama isterinya ke sebuah pasar raya di Ampang.

“Mereka didatangi seorang suspek yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 30 tahun, kemudian suspek meminta mangsa mengemukakan resit dan kad pasar raya terbabit, sebelum memberitahu mereka pelanggan bertuah,” katanya.

Menurutnya, suspek bersama pasangan tersebut ke sebuah kedai emas di Cheras kerana suspek mendakwa hanya kedai itu sahaja boleh menebus hadiah jongkong emas.

“Pekerja kedai emas itu menyerahkan satu jongkong emas bernilai RM18,000, kemudian suspek meminta kad kredit mangsa, sebelum membuat pembayaran dan mangsa menandatangani resit kad kredit itu,” katanya.

Menurutnya, suspek yang memegang jongkong emas itu memberi alasan mahu ke tandas, sebelum dia melarikan diri.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis dan membatalkan kad kreditnya,” katanya.

Kok Sin berkata, pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.




-SH

No comments:

Post a Comment