KUANTAN - Tujuh lelaki dipercayai penagih dan pengedar dadah ditahan di Kuantan dan Gambang secara berasingan, selepas berkelakuan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 32 tahun semasa anggota polis dari Balai Polis Jaya Gading di sini, melakukan tugasan rondaan cegah jenayah di tepi jalan dekat Batu 11, di sini.
"Suspek yang ditahan pada 12.15 tengah hari semalam, juga didapati positif dadah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, polis juga menahan seorang lagi suspek berusia 18 tahun di Taman Tas di sini pada 1 tengah hari semalam, selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
Abdul Aziz berkata, pemeriksaan terhadap beg pinggang yang dipakai suspek menjumpai tiga keratan penyedut minuman yang mengandungi 26 biji pil kuda.
"Melalui akuan lisan, suspek turut mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan menjual dadah di sekitar kawasan ini.
"Kedua-dua suspek itu dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 15(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952," katanya.
Di Pekan, anggota polis dari Balai Polis Gambang menahan lima lelaki di
kawasan ladang kelapa sawit dekat Paya Bungor di sini, dalam 'Ops Sarang'.
Beliau berkata, dalam serbuan pada 5 petang itu, kesemua suspek berusia lingkungan 26 dan 39 tahun itu sedang khayal di bawah pengaruh dadah. - Bernama
No comments:
Post a Comment