Thursday, 16 April 2015

Perompak Sembunyi Dalam Kebun



Kota Bharu: Selepas gagal melarikan barang berharga, seorang lelaki berusia 31 tahun terpaksa bersembunyi selama beberapa jam di kebun berhampiran rumah mangsa sebelum akhirnya ditangkap penduduk kampung dan diserahkan kepada polis, kelmarin.

Dalam kejadian di Kampung Melor, dekat sini, penduduk yang menyedari perbuatan suspek memecah masuk sebuah rumah terus mengepung lelaki berkenaan bagi mengelakkannya melarikan diri sebelum berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan penduduk.

Seorang penduduk dikenali sebagai Man, 30, berkata, dia ternampak lelaki itu cuba memecah masuk rumah jirannya, seorang guru berusia 41 tahun, kira-kira jam 10 pagi.

“Saya tahu rumah itu kosong kerana penghuninya keluar bekerja, tetapi kelibat lelaki itu mencurigakan, jadi saya menghubungi jiran lain memaklumkan kejadian itu,” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, selepas dimaklumkan perkara itu, mangsa pulang ke rumahnya pada jam 12 tengah hari dan mendapati pintu terbuka, tetapi tiada barang berharga hilang.

“Bagaimanapun, mangsa menemui sebuah motosikal dipercayai milik suspek di kawasan rumahnya sebelum memanggil penduduk kampung untuk mengesan pemilik motosikal itu.

“Mereka terserempak suspek dalam kebun yang tidak jauh dari rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek mengaku motosikal itu miliknya, namun kemunculannya yang mencurigakan menyebabkan penduduk menahan dan memukulnya.

Menurutnya, mangsa mem- buat aduan di Balai Polis Melor dan turut membawa bersama lelaki yang berjaya diberkas itu, kira-kira jam 6 petang.

“Dalam kes ini, polis menasihatkan orang awam supaya tidak memukul suspek yang berjaya mereka tahan kerana tindakan itu menyalahi undang-undang, sebaliknya suspek perlu terus diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

- HM

No comments:

Post a Comment