Kuala Terengganu: Seorang lelaki maut selepas dibelasah teruk penduduk kampung kerana disyaki mencuri lembu di Kampung Pengkalan Maras, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa yang berusia 28 tahun dikatakan cuba melarikan haiwan peliharaan milik penduduk kampung berkenaan, namun perbuatannya dilihat penduduk yang kemudian bertindak memukul mangsa beramai-ramai hingga tidak sedarkan diri.
Menurut sumber, akibat kejadian itu, mangsa dipercayai mengalami kecederaan parah dengan pendarahan di kepala dan patah tangan.
“Mangsa yang tinggal di Kampung Chendering kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk rawatan kecemasan, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.30 petang semalam (kelmarin) di HSNZ,” katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata, susulan kejadian itu, polis menahan lima penduduk yang dipercayai terbabit memukul mangsa.
Menurutnya, mereka yang ditahan kini direman mulai kelmarin hingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Nik Md Zain Nik Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan penahanan lima suspek bagi membantu siasatan kes itu.
- HM
No comments:
Post a Comment