Johor Bahru: Seorang lelaki mengaku menipu isteri dengan memberitahu keluar untuk minum di kedai mamak, tetapi sebenarnya menghabiskan wang dan masa bermain judi dalam talian yang beroperasi di sebuah rumah kedai di Taman Seri Bahagia di sini.
Kontraktor pendawaian berusia 40-an itu antara enam orang, termasuk dua penjaga premis judi yang ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.
Menurut bapa kepada lapan anak itu, dia memberi alasan keluar minum di kedai mamak sambil menonton perlawanan bola sepak bagi mengelak ketagihannya bermain talian diketahui isteri.
“Setiap hari saya belanjakan sekurang-kurangnya RM50 untuk berjudi di sini. Apabila isteri tanya mahu ke mana, saya beritahu mahu lepak sambil tengok bola sepak di kedai mamak,” katanya.
Dalam serbuan diketuai Pegawai Turus D7 IPK Johor Deputi Superintendan Azli Abu Shah bersama enam anggota itu, turut dirampas enam komputer riba digunakan untuk berjudi dan peranti tablet bernilai lebih RM13,000.
Menurut Azli, serbuan dilakukan hasil risikan selepas mendapat maklumat awam berhubung kegiatan mencurigakan di premis yang dipercayai baru menjalankan kegiatan perjudian seminggu lalu.
“Semua lelaki yang ditahan berumur antara 19 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Dalam serbuan itu, remaja berusia 19 tahun dipercayai penjaga premis turut ditahan kerana tersenarai dikehendaki Polis Daerah Kajang dan Bangi bagi kesalahan berkaitan judi dan dadah,” katanya.
Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) untuk tindakan lanjut.
- HM
No comments:
Post a Comment