Wednesday 29 April 2015

Rokok Seludup Jadi Racun Pelajar Sekolah



Kuala Lumpur: Rokok seludup yang dijual pada harga antara RM3.50 dan RM4 sekotak adalah satu perangkap mudah untuk pelajar sekolah yang mula berjinak-jinak untuk merokok.

Biarpun, kerajaan menetapkan harga minimum rokok 20 batang adalah RM7 dan melarang penjualan rokok di bawah umur 18 tahun namun kebanjiran rokok seludup dijual peniaga yang mementingkan keuntungan menjadi penyebab merokok pada usia muda.

Tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, baru-baru ini mendapati terdapat segelintir remaja tanpa segan silu menghisap rokok seludup berdasarkan jenama kotak rokok yang dibeli mereka.

Mereka didapati berkongsi rokok jenama sama dan dipercayai dibeli sebelum dihisap beramai-ramai.

Mengulas mengenai fenomena pelajar hisap rokok seludup itu, pakar psikologi dan motivasi Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, sebab utama pelajar sekolah mula menghisap rokok kerana pengaruh rakan sebaya dan menganggap perubatan itu lambang kedewasaan.

“Pengaruh rakan sebaya paling kuat dalam isu merokok ini. Jika mahu berkawan dalam kelompok yang merokok, seseorang remaja itu perlu merokok.

“Pelajar yang merokok ini juga adalah akibat kurang kawalan daripada ibu bapa.

“Mereka juga tak sabar nak jadi dewasa. Bagi mereka, merokok lambang kedewasaan selain suka bertindak melakukan sesuatu memang dilarang.

“Apabila nak merokok pasti kena beli. Rokok seludup lebih murah, jadi ia menjadi pilihan.

“Bagi pihak sekolah pula, usaha pendidikan, motivasi dan ceramah kesedaran perlu ditingkatkan secara berterusan. Bukan tumpu akademik saja, bukan berapa ramai dapat A saja.

“Sekolah kena jalankan program sahsiah. Beritahu kesan buruk perkara itu. Jelaskan juga bahawa buli dan gengsterisme ia realiti berlaku. Nakal ada, tapi sekurang-kurangnya pelajar ini jika nak bertindak lebih melampau akan berfikir selepas mendapat input,” katanya.

Dr Chandran Somasundram dari Jabatan Bioteknologi (Institut Sains Biologi) Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) mendedahkan rokok seludup dijual meluas di pasaran mempunyai kandungan tar dan nikotin tiga kali ganda lebih tinggi daripada dibenarkan menurut undang-undang Malaysia.

- HM

No comments:

Post a Comment