Thursday 30 April 2015

Tinggal Mayat Polis Bantuan Dalam Bilik Hotel



Kuala Lumpur : Seorang daripada empat rakyat Malaysia yang ditahan di Batam, Indonesia kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan dikenal pasti sebagai anggota polis bantuan.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman Datin Asmawati Ahmad dalam kenyataannya berkata, pihak polis mengesahkan suspek adalah polis bantuan yang bertugas dengan sebuah badan berkanun.

Menurutnya, kes itu berlaku di luar Malaysia dan ia adalah di bawah bidang kuasa polis Indonesia.

“Bagaimanapun Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa memberi kerjasama kepada Polis Republik Indonesia (POLRI) bagi membantu siasatan,” katanya.

Semalam, media Indonesia termasuk Batam Post melaporkan empat rakyat Malaysia ditahan di negara jiran itu selepas dipercayai terbabit kes pembunuhan seorang ahli kongsi gelap rakyat Malaysia dikenali Amar Aswan, 29 di sebuah bilik hotel.

POLRI memaklumkan empat suspek yang ditahan itu dikenali sebagai Sarwanan Kuppusami, Masturizam Mardan, Goh Song Chew dan Kali Razan Meganatan.

Sarwanan dan Masturizam ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia menaiki feri dari Pusat Pelabuhan Feri Antarabangsa Batam.

Sementara, Goh dan Kali Razan ditahan di kawasan berlepas ke kapal Feri Mutiara Mas I dari Pelabuhan Harbour Bay, Batu Ampar, Indonesia, kelmarin.

Rakaman CCTV hotel menunjukkan empat suspek terbabit dilihat meninggalkan mayat Amar selepas dipercayai dibunuh.

-HM

No comments:

Post a Comment