Sunday 17 May 2015

22 Perusuh Direman 4 Hari


Kuala Terengganu: Seramai 22 lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian merusuh ketika perlawanan bola sepak Piala FA antara Terengganu dan LionsXII malam tadi ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Rendah Muhammad Firdaus Abdul Rahim yang membenarkan kesemua lelaki direman sehingga Rabu untuk siasatan lanjut.

Kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 36 tahun selepas membuat kekecohan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) kerana memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan, Seksyen 435 KK kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan dan Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat.

Dalam insiden itu, rusuhan mula berlaku di dalam dan luar stadium kira-kira 10.45 malam ketika minit-minit terakhir perlawanan.

Kekecohan berpunca daripada rasa tidak puas hati penyokong Terengganu terhadap pengadil perlawanan yang membatalkan gol keempat skuad Penyu dan melayangkan kad merah kepada dua pemain Terengganu.

Penyokong Terengganu bertindak agresif dengan membaling pelbagai objek seperti botol, kerusi dan batu selain ada yang membakar suar.

- HM


No comments:

Post a Comment