Sunday 17 May 2015

Penyokong Bola Bukan Cedera Akibat Gas Pemedih Mata


Kuala Terengganu: Tiada sebarang kejadian penyokong cedera akibat terkena tembakan gas pemedih mata untuk meleraikan kekecohan selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan LionsXII di Stadium Sultan Mizan Zailnal Abidin seperti tersebar di laman sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara itu.

"Malah pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) juga memaklumkan kepada kami tiada terdapat kes berkenaan.

"Bagaimanapun, dalam kekecohan semalam, terdapat empat anggota kami cedera kerana terkena balingan batu dan dipukul penyokong serta mendapat rawatan sebagai pesakit luar di HSNZ," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini, petang ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, suspek utama yang menyebabkan van milik St John Ambulans Malaysia terbakar di stadium berkenaan semalam, belum dikenal pasti dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu untuk tampil membuat laporan polis.
- HM

No comments:

Post a Comment