KLUANG - Seorang gadis berharap ibu kandungnya dapat ditemui semula bagi memudahkan urusan membuat kad pengenalan berikutan sijil kelahirannya yang tidak mengandungi data peribadi kedua ibu bapanya.
Siti Nur Aisyah Abdullah, 21, diserahkan kepada keluarga angkat tanpa sebarang dokumen kelahiran mahupun buku rekod kesihatan bayi.
Katanya, dia mengetahui dirinya anak angkat pada usia 13 tahun dan memperoleh sijil kelahiran ketika berusia 15 tahun.
“Saya mendapat sijil kelahiran lambat disebabkan tidak ada data lengkap tentang ibu dan bapa kandung. Malah, dalam sijil kelahiran saya sekarang hanya tertera nama saya dan ibu, Rodzaimah Ab Razak serta tempat kelahiran saya di Flat Sri Murni, Ayer Keroh, Melaka.
“Disebabkan tiada data yang jelas dan mencukupi saya tidak boleh membuat kad pengenalan malah keluarga angkat pun tidak membuat proses pengangkatan kepada saya jadi, sukar untuk saya dapatkan kad pengenalan,” katanya ketika ditemui di Pusat Komuniti Parlimen Kluang, di sini, semalam.
Tambahnya, sebelum sijil kelahiran diperoleh nama yang digunakan olehnya adalah Norismawatie Abdullah kemudian ditukar dengan nama yang sekarang.
“Saya mengambil keputusan untuk keluar rumah keluarga angkat sewaktu berumur 18 tahun disebabkan ibu bapa angkat tidak mempunyai wang untuk untuk membuat proses anak angkat yang mampu memudahkan membuat kad pengenalan saya.
“Jadi, ketika itu saya ambil keputusan keluar rumah dan tinggal sendiri di rumah sewa di Taman Delima. Sejak keluar rumah saya tidak lagi berhubung dengan keluarga angkat kerana mahu berdikari menyelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya.
Tambah Siti Nur Aisyah yang bekerja di kantin sekolah berkata, selepas tiga tahun dia mengetahui keluarga angkatnya yang dahulu tinggal di Kluang sudah berpindah ke tempat lain.
Bagaimanapun, dia berharap ada pihak membantunya mencari ibu kandung kerana cara itu sahaja yang membolehkannya membuat kad pengenalan.
“Tanpa kad pengenalan saya tidak boleh membuat apa-apa. Saya pun telah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk memohon kad pengenalan tetapi ditolak kerana tidak mencukupi data peribadi,” katanya.
Sementara itu, Adun Mengkibol, Tan Hong Pin berharap pihak yang berkaitan dapat membantu gadis berkenaan berikutan telah menduduki negara ini sejak dilahirkan.
Katanya, ketika ini dia akan cuba mencari jalan di samping memaparkannya di media adalah salah satu saluran membantu gadis tersebut.
“Sekiranya ada sesiapa yang dapat maklumat berkaitan ibu kandung Siti Nur Aisyah mereka boleh terus menghubunginya di talian 07-7779758,” katanya.
-SH
No comments:
Post a Comment