Friday, 8 May 2015

Mangsa Tikaman Bukan Desak Kahwin



KUALA KUBU BHARU - “Hati ayah mana yang tak sedih bila lihat anak sendiri diperlakukan begitu," luah bapa Nur Salina Nazir, 34, yang mati dibunuh setelah ditikam beberapa kali dalam kejadian lewat malam Selasa lalu.

Menurut Nazir Ramli, 67, lebih menyedihkan, dia sendiri menemui mayat anaknya yang dibiarkan dalam kereta di hadapan sekolah.

Menceritakan kejadian itu kepada Sinar Harian, Nazir berkata, dia ke sekolah berkenaan setelah anaknya (Salina) tidak pulang ke rumah selepas keluar menghantar barang pada malam kejadian.

“Bila bangun pagi nak hantar cucu ke sekolah, saya tengok kereta dia tiada. Sebab risau keselamatannya, saya terus ke sekolah untuk dapatkan nombor telefon guru itu (suspek) sebab dia rapat dengan Salina,” katanya.

Tiba di sekolah, Nazir terkejut apabila mendapati kereta anaknya diletakkan di luar pagar sekolah dan kelihatan Salina seperti sedang tidur dengan menurunkan tempat duduk pemandu.

Katanya, selepas mengetuk tingkap beberapa kali dan tiada respons, dia membuka pintu di tempat duduk penumpang.

“Hanya ALLAH saja yang tahu perasaan saya ketika itu bila lihat badan Salina dipenuhi darah dan sudah kaku,” katanya.

Dia segera memaklumkan kepada pasukan polis peronda yang kebetulan berada di kawasan tersebut.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang guru ditahan kerana disyaki menikam teman wanitanya hingga mati dipercayai akibat tekanan perasaan disebabkan oleh desakan mangsa yang mengajaknya berkahwin.

Mangsa yang juga seorang ibu tunggal dibunuh di dalam kereta jenis Proton Wira miliknya di hadapan sekolah tempat guru itu mengajar, di sini.

Mayatnya ditemui kira-kira jam 9 pagi, kelmarin, dengan empat kesan tikaman di bahagian badan iaitu dada, rusuk dan lengan.

Anak tak restu

Sementara itu, anak mangsa, Nur Naslyne Thaqifah, 14, berkata, dia hanya tahu kejadian itu setelah dibawa pulang ke rumah oleh jiran rapat yang menjemputnya di sekolah.

“Ketika sampai, saya dapati rumah sudah dipasang khemah. Adik beritahu ibu sudah meninggal,” katanya.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Ungku Aziz itu, dia tidak merestui perhubungan ibu dengan suspek sejak awal perkenalan mereka lagi.

Thaqifah memberitahu, suspek pernah mengajarnya ketika dia di darjah tiga.

“Mereka mula berkenalan tahun lalu sebab dia (suspek) guru kelas adik saya. Saya memang tak suka caranya sebab suka guna telefon ketika mengajar. Saya juga ada dengar cerita tak elok tentang dia daripada orang lain,” katanya.

Menurut Thaqifah, ibunya sebelum ini pernah berpesan kepadanya supaya menerima suspek menjadi bapa tirinya, namun sukar baginya selepas mengetahui sikap lelaki terbabit.

Katanya, kali terakhir dia bertemu ibunya pada pagi Isnin lalu, sebelum pulang ke asrama.

“Ibu ada pesan saya belajar rajin-rajin supaya dapat mencapai cita-cita menjadi seorang doktor.

“Apa yang menimpa ibu memang tak disangka dan saya harap pihak berkenaan dikenakan hukuman gantung kerana membunuh ibu dengan begitu kejam,” katanya.

Mereka rancang kahwin

Sementara itu, kakak mangsa, Norsaliza Nazir, 44, berkata, adiknya dan suspek sudah membuat persiapan untuk berkahwin pada 6 Jun depan.

Katanya, segala kelengkapan sudah ditempah, malah mereka mendaftarkan perkahwinan di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak.

“Segala persiapan majlis hampir selesai dan saya pelik bagaimana ada dakwaan kata Salina desak dia untuk kahwin, sedangkan mereka memang rancang (kahwin),” katanya.

Mengenai anak-anak mangsa katanya, dia akan berbincang dengan ayah kandung mereka bagi memutuskan tentang penjagaan selepas ini.

Salina meninggalkan empat anak hasil perkahwinannya sebelum ini iaitu Nur Naslyne Thaqifah, 14; Nur Naslyne Rasyiqah, 9; Nur Naslyne Batrisya, 8; dan Naseem Miqhal, 7.




- SH

No comments:

Post a Comment