Sunday, 3 May 2015

Dua Pusat Hiburan Sg Petani Tetap Beroperasi Tanpa Lesen



Sungai Petani: Walaupun pernah diserbu beberapa kali, dua pusat hiburan di Taman Ria Jaya, di sini, masih berdegil apabila tetap meneruskan operasi tanpa lesen sebelum diserbu pihak berkuasa, awal pagi semalam.

Serbuan dilakukan jam 12.20 tengah malam membabitkan tujuh anggota Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri diketuai Asisten Superintendan James Jims Ngadin Riis dan Inspektor Mohd Nasrul Faiz Suaid selepas menerima maklumat awam.

Sumber berkata, dalam serbuan itu polis memeriksa empat wanita termasuk tiga warga Thailand dan dua lelaki dipercayai penjaga di kedua-dua premis terbabit sebelum mereka yang berusia antara 20-an hingga 40-an, ditahan untuk siasatan.

Katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati lesen hiburan kedua-dua premis itu tamat menyebabkan polis merampas set komputer, peralatan karaoke serta buku resit dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua pusat hiburan itu disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1997 manakala tiga wanita warga Thailand pula disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Peraturan Imigresen 1959 kerana melanggar syarat pas lawatan.

“Polis akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pusat hiburan di negeri ini mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

- HM

No comments:

Post a Comment