Alor Setar: Seorang penjawat awam berusia 50-an antara 15 individu yang ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Kedah selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan kereta mewah dari negara jiran membabitkan bernilai lebih RM7.5 juta termasuk cukai.
Pengarah JDKM Kedah Abdul Latif Abdul Kadir berkata, lelaki itu ditahan di sebuah daerah di negeri ini pada Mac lalu bersama lapan kenderaan mewah selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 116 Akta Kastam 1967.
Beliau berkata, semua 15 individu itu ditahan Bahagian Penguat kuasa JKDM negeri kerana terbabit dalam kegiatan penyeludupan kenderaan mewah dalam tempoh empat bulan sejak Januari lalu sehingga semalam.
“Hasil tangkapan semua suspek berusia antara 30-an hingga 50-an terbabit, kita merampas 81 kenderaan mewah bernilai lebih RM2.67 juta, dengan nilai cukainya melebihi RM4.9 juta.
“Antara kenderaan mewah yang dirampas termasuk Mercedes Benz, Porsche Boxter S, Maserati, Jaguar, BMW X5, BMW 730Li, Lexus RX300, Mini Cooper, Nissan Fairlady dan Volvo XC90,” katanya, semalam.
Abdul Latif berkata, rampasan kenderaan berkenaan dibuat di beberapa lokasi termasuk di Sungai Petani, Durian Burung, Bukit Kayu Hitam dan Langkawi di negeri ini selain rampasan di sekitar Lembah Klang serta Perak.
Beliau berkata, suspek dipercayai menyeludup kenderaan mewah itu dari negara jiran sebelum didaftar dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu selepas pemeriksaan menerusi sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapatinya dipalsukan.
“Berdasarkan siasatan, mereka melakukan kegiatan itu secara individu dan tidak membabitkan sindiket, sebaliknya dilakukan bagi mengelak kereta itu perlu dibayar cukai.
“Kita percaya mereka menggunakan laman sosial Facebook untuk mengiklankan jualan kenderaan itu bagi menarik minat orang ramai membelinya.
“Mereka dipercayai menjual harga kenderaan mewah itu jauh lebih rendah daripada nilai pasaran tempatan kerana tidak dikenakan cukai, malah turut memalsukan cukai jalan serta nombor pendaftaran kenderaan berkenaan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan itu atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, orang ramai mempunyai maklumat berhubung penawaran kenderaan mewah pada harga murah berbanding nilai pasaran boleh hubungi Pejabat Bahagian Penguat Kuasaan JKDM Kedah di talian 04-7751212 atau talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855.
-HM
No comments:
Post a Comment